I made this widget at MyFlashFetish.com.

Ahad, 8 April 2012

Laporan lawatan ke Pusat Kesenian dan Pertukangan Tangan





PENGENALAN
Pada 24hb Mac 2012, mahasiswa dan mahasiswi Universiti Brunei Darussalam yang mengambil kursus PB3403 - Industri Tradisi Brunei telah membuat lawatan ke Pusat Kesenian dan Pertukangan Tangan yang terletak di Kota Batu, Bandar Seri Begawan. Tujuan lawatan ini adalah untuk membenarkan para penuntut untuk mempelajari dengan lebih lanjut tentang bengkel-bengkel pertukangan tangan yang telah disediakan oleh pusat tersebut. Kedatangan kami di Pusat Kesenian dan Pertukangan Tangan disambut oleh salah seorang tenaga pengajar disana iaitu Awang Haji Bakar Haji Jaludin. Ketika lawatan ini, mahasiswa dan mahasiswi Universiti Brunei Darussalam diberi peluang untuk melawat 4 bengkel yang disediakan oleh pusat kesenian iaitu Bengkel Perak, Bengkel Tenunan, Bengkel Anyaman & Songkok dan juga Bengkel Tembaga.
Ketika lawatan tersebut, rombongan mahasiswa dan mahasiswi yang diiringi oleh Haji Bakar Haji Jaludin, salah seorang tenaga pengajar dalam bidang pertukangan perak. Beliau berumur 57 tahun dan bermula menjadi tenaga pengajar di pusat kesenian sejak tahun 1982.

 
PERAK
Bengkel pertama yang dilawat oleh rombongan mahasiswa dan mahasiswi adalah bengkel perak yang terletak di tingkat 5. Ketika lawatan ke bengkel ini, kami diberi sedikit taklimat oleh Awang Haji Bakar tentang proses-proses yang berhubung kait dengan pertukangan perak. Selain itu, Awang Hj Bakar juga menerangkan kepada kami tentang kursus – kursus yang berunsurkan pertukangan tradisi yang berada di pusat kesenian.

Kursus kesenian ini hanya akan mengambil masa selama tiga tahun sahaja dimana penuntut-penuntut akan mengambil masa selama dua tahun untuk belajar tentang bidang pertukangan mereka manakala bagi tahun ketiga mereka, mereka akan diberikan projek besar.


Ketika Awang Haji Bakar memberi taklimat tentang bengkel perak, kami diberitahu bahawa kesemua perak termasuk bahan-bahan serta alat-alat yang digunakan oleh petukang perak datangnya dari United Kingdom. Perak yang didatangkan khas ini pada mulanya berbentuk kepingan dimana ianya semua berukuran yang sama iaitu sepanjang 30 inci dan selebar 12 inci. Namun yang berbeza adalah ketebalan perak-perak tersebut.

Bagi penuntut-penuntut yang mengambil kursus bidang pertukangan perak, mereka akan diajarkan cara-cara membentuk perak dan seni mengukir corak-corak pada perak tersebut. Para petukang perak lazimnya menggunakan asas ukiran corak-corak yang sedia ada yang melambangkan identiti melayu Brunei, seperti corak bunga menjalar, bunga air muleh, karamunting, gigi yu, rawai-rawai, daun setampik, daun selambar dan lain-lain. Pada mulanya, kami telah difahamkan tentang alat-alat yang digunakan untuk bertukang perak. Alat yang awal sekali ditunjukkan oleh Awang Haji Bakar ketika taklimatnya adalah
kayu pengarungan. Kayu pengarungan ini diperbuat daripada kayu kulimpapa dan digunakan sebagai alas untuk membentuk perak. Kebanyakan proses-proses pertukangan perak ini dilakukan secara manual dengan menggunakan tangan, namun ada juga proses-proses yang menggunakan mesin iaitu proses menghaluskan dan mengilatkan.






Awang Haji Bakar juga memberitahu tentang alat-alat lain yang digunakan dalam bidang pertukangan perak ini, seperti landasan yang digunakan untuk membentuk perak, Landasan ini diperbuat daripada tembaga yang dijangkakan bernilai dalam lingkungan seribu ringgit. Ketika taklimat tersebut, kami juga dibawa oleh Awang Haji Bakar ke dalam sebuah bilik dimana proses-proses pembuatan perak yang melibatkan api dilakukan.

Proses-proses yang dilakukan di dalam bilik tersebut diantaranya adalah; mematri yakni 'wielding' dan melebur perak. Bilik itu juga digunakan untuk proses pandam dimana hasil ciptaan perak akan diukir mengikut kehendak petukang. Seterusnya, Awang Haji Bakar memberitahu kami tentang proses memutihkan perak dengan menggunakan air tawas dimana perak itu akan direndam selama 10 minit, lalu sisa-sisa hitam yang ada pada perak akibat proses melebur atau mematri akan tanggal dari perak tersebut.

Menuju ke penghujung taklimat tersebut, Awang Haji Bakar turut memberitahu kami tentang penuntut-penuntut lepasan yang mana mereka digalakkan untuk berusaha sendiri setelah selesai kursus dengan sediakan bantuan yang disediakan oleh kerajaan. Bantuan yang diberi kerajaan adalah dari segi menyediakan modal, tempat perusahaan dan pemasaran bagi penuntut-penuntut lepasan tersebut. Namun modal yang disediakan adalah tidak tetap bagi setiap individu.

Sebelum kami meneruskan lawatan ke bengkel seterusnya, kami berpeluang untuk memerhatikan sedikit proses yang berkaitan dengan pertukangan perak yang dipraktikkan oleh dua orang lepasan kursus di dalam bidang ini:

  •  Awang Mohamad bin Hj Jaludin, berumur 22 tahun. Beliau merupakan seorang penuntut lepasan kursus dan baru berkhidmat selama satu tahun. Ketika kami menjumpai nya, beliau sedang melakukan satu proses yang dipanggil menggiling iaitu satu proses dimana kepingan perak itu dinipiskan.


  •  
  • Dayangku Rohana Binti Pengiran Jafar, berumur 29 tahun. Beliau merupakan seorang penuntut lepasan kursus dan baru berkhidmat selama lima tahun. Ketika teklimat beliau sedang menghaluskan replika keris perak yang kecil.




 
TENUNAN
Setelah berkunjung ke bengkel perak, mahasiswa dan mahasiswi Universiti Brunei Darussalam yang diiringi oleh Haji Bakar Haji Jaludin dibawa ke bengkel seterusnya iaitu bengkel tenunan di tingkat 3. Bengkel tenunan merupakan tempat dimana penuntut-penuntut yang berminat akan dilatih cara-cara membuat tenunan menggunakan tangan dan alat-alat tradisional. Bidang tenunan bukanlah sesuatu yang mudah untuk diceburi kerana ianya melibatkan jutaan helai benang dan memerlukan kesabaran untuk mendapatkan hasil yang halus dan memuaskan. Bengkel tenunan tersebut pada masa ini mempunyai bilangan penuntut seramai 7 orang dan juga 7 orang pelatih.

 
Orang pertama yang kami jumpai adalah seorang tenaga pengajar di bengkel tenunan, Hajah Umi Kalthum Haji Omar yang pada masa itu sedang melakukan tugasnya menyediakan pakan menggunakan sebuah alat yang dipanggil cincir. Beliau sudahpun berkhidmat lama di Pusat Kesenian dan mempunyai pengalaman mengenai tenunan selama 30 tahun. Menurut Hajah Umi Kalthum, biasanya masa untuk menghasilkan kain tenunan sepenuhnya adalah sekurang-kurangnya 2 minggu, namun beliau juga menyatakan bahawa ianya mungkin memakan masa berlainan oleh sebab mereka harus melihat bagaimana keadaan corak kain tersebut dan bergantung kepada kepakaran seseorang itu. Corak yang paling susah hendak dilakukan menurut Hajah Umi Kalthum adalah corak yang dipanggil kain silubang bangsi dan liputan madu, yang mana kedua-dua kain ini boleh mencapai harga sehingga satu ribu lebih ringgit Brunei.



 
Mengenai pemasaran pula, kain tenunan sering ditempah untuk memenuhi permintaan orang ramai yang berhajat untuk menggunakan kain tenunan bagi majlis-majlis tertentu seperti sebagai hantaran pernikahan dan sebagai hadiah bagi ahli-ahli kerabat Diraja. Ramai juga penuntut-penuntut lepasan dari bengkel tenunan, Pusat Kesenian yang membuka perniagaan khidmat tenunan terutama sekali di Sumbangsih Mulia yang terletak di Kampong Beribi.

Tenaga-tenaga pengajar lain yang kami temui adalah:
  • Hajah Jaliha binti Haji Badang yang telah berkhidmat selama 15 tahun. Ketika ditemui, beliau sedang melakukan proses tenunan yang dinamakan menganim.


  • Sofinah binti Haji Wasli yang mula mengambil kursus di sana pada tahun 1985 dan mula bekerja pada 1994, dan pada ketika itu beliau sedang menenun di rumah tenunan.


 
ANYAMAN
Apabila selesai tinjauan kami ke bengkel tenunan, mahasiswa dan mahasiswi Univesiti Brunei Darussalam dibawa lagi oleh Haji Bakar Haji Jaludin ke bengkel seterusnya iaitu bengkel anyaman dan songkok. Tetapi kami sedikit berdukacita kerana tenaga pengajar bagi pembuatan songkok pada masa itu tiada, lalu kami tidak mendapat informasi mengenai bidang songkok. Jadi, kami hanya berjumpa dan berbual-bual dengan salah seorang tenaga pengajar bidang anyaman yang bernama Hajah Raya binti Haji Hujan yang telahpun berkhidmat di Pusat Kesenian sejak tahun 1992. Bengkel anyaman dan songkok mempunyai penuntut seramai 13 orang, dan mereka dilatih oleh 3 orang tenaga pengajar yang mana dua orang mengajar bahagian anyaman dan songkok hanya seorang.

 
 Menurut Hajah Raya, bahan-bahan yang biasa digunakan untuk anyaman adalah daun pandan yang biasanya boleh didapati di tepi pantai dan sungai. Daun-daun tersebut kemudian dipotong secara halus dan panjang mengikut kehendak sendiri, lalu setelah itu barulah ianya dianyam dengan menggunakan tangan. Hajah Raya menyatakan bahawa mereka akan menganyam seberapa besar terlebih dahulu, dan kemudian barulah dibentuk mengikut citarasa dan kehendak sendiri. Pada zaman dahulu, bentuk-bentuk yang lazimnya dibuat oleh tukang anyam adalah seperti takiding, alas meja dan juga lantai. Namun, pada zaman moden ini, produk-produk anyaman seperti takiding tidak lagi digunakan, lalu mereka yang pakar tentang anyaman juga mengubah cara pemikiran mereka dan menjadikan produk anyaman sesuatu yang selaras dengan zaman moden, seperti fail, beg syiling, beg tangan kecil, potret wajah dan bermacam-macam lagi.



 
    Produk-produk anyaman yang diperbuat daripada daun pandan menggunakan bahan pengawet sebagai warna dan ianya tidak boleh terkena air hujan kerana ditakuti akan luntur. Selain itu, anyaman juga kadang-kadang menggunakan bahan lain selain daun pandan iaitu buluh. Buluh tersebut dihiris sehingga halus, nipis dan lembut untuk dianyam. Menurut Hajah Raya, jika anyaman menggunakan buluh, ianya akan lebih tahan lama dan tidak akan menimbulkan masalah jika terkena hujan. Mengenai jangka masa pula, Hajah Raya menyatakan yang ianya bergantung kepada yang membuat anyaman tersebut. Orang-orang yang sudah mahir biasanya boleh siap dalam 1-2 hari sahaja, manakala mereka yang baru belajar akan mengambil masa sekurang-kurangnya 2 minggu. Setelah itu, hasil-hasil daripada anyaman dari bengkel tersebut jarang sekali dipasarkan kepada orang ramai. Ianya cuma dijual di Pusat Kesenian sendiri.

 

TEMBAGA
Selepas melawat ke bengkel anyaman dan songkok, mahasiswa dan mahasiswi Universiti Brunei Darussalam terus dibawa melawat ke bengkel seterusnya iaitu bengkel pertukangan tembaga. Disana, kami berjumpa dengan salah seorang tenaga pengajar bidang pertukangan tembaga iaitu Abdullah bin Hj Metussin. Beliau merupakan salah seorang tenaga pengajar yang paling awal dilantik untuk menjadi pengajar pada tahun 1975.
Ketika di bengkel tembaga, Awang Abdullah menerangkan tentang proses–proses yang terlibat apabila hendak mencipta sebuah alat tembaga, dan dia juga menyatakan bahawa proses–proses membuat tembaga mempunyai beberapa persamaan dengan proses–proses pertukangan perak seperti proses melebur logam.
Di dalam pembuatan tembaga, proses yang mula–mula dilakukan adalah dengan membentuk dan mengukir bentuk tembaga yang diingini dengan menggunakan tanah kuning atau tanah bukit. Kemudian, apabila tanah itu sudahpun berbentuk dan diukir, ia akan dikeringkan dan setelah dikeringkan replika tanah kering ini akan disimpan di dalam tanah liat yang mana tanah liat tersebut akan menyerap bentuk corak yang ada pada replika tanah kering itu. Secara umumnya tanah liat tersebut akan dijadikan sebagai acuan.




Setelah itu, tembaga yang dilebur akan diadun kedalam acuan tanah liat tersebut lalu akan mengikut bentuk yang diserap oleh tanah liat. Setelah itu, tembaga itu akan dibiarkan seberapa lama ia akan mengeras dan lazimnya akan terciptalah alat tembaga yang dihajatkan.

 
SESI SOAL JAWAB
Selepas selesai membuat lawatan ke bengkel-bengkel yang telah disebutkan, mahasiswa dan mahasiswi Universiti Brunei Darussalam diiringi sekali lagi oleh Haji Bakar untuk bertemu dengan penyelia pengajar di Pusat Kesenian, Azizul Shah Haji Azhari. Tugas beliau adalah untuk memastikan kesemua bahagian latihan di sana termasuk tenaga pengajar dan penuntut berjalan lancar dan sempurna. Beliau mula berkhidmat di Pusat Kesenian pada tahun 2005 dan sebelum itu, beliau pernah menjadi guru di salah sebuah sekolah rendah di Negara ini selama 7 tahun sejak 1997.




 
Tujuan cikgu Azizul Shah ingin bertemu dengan kami adalah hendak mengadakan sesi soal jawab bersama kami. Lalu, banyak soalan-soalan yang dikemukan terhadap beliau. Diantaranya ialah mengenai kelayakan untuk mengikuti kursus bengkel-bengkel yang terdapat di Pusat Kesenian. Kelayakan minima yang diperlukan hendaklah lulus menengah dua dan berumur di dalam lingkungan 17 hingga 28 tahun dan masih bujang. Bagi yang ingin mendaftar yang berumur 30 tahun ke atas adalah tidak dibenarkan sama sekali. Beliau menambah menyatakan bahawa produk-produk yang laris adalah kain tenunan yang paling banyak di beli oleh orang-orang awam, manakala perak bagi ahli-ahli kerabat Diraja. Cikgu Azizul Shah juga ada memberitahu kami yang besar kemungkinan Pusat Kesenian dan Pertukangan Tangan akan mengadakan bengkel batik pada masa akan datang.

 
Sebelum kami beredar dari situ, cikgu Azizul Shah memberi kami nasihat yang amat berguna yang mana beliau bercakap melalui pengalaman. Nasihat pertama beliau berkaitan dengan cara-cara mengumpul informasi dimana beliau menyarankan dan menegaskan betapa baiknya jika kita hendak mengkaji sesuatu itu, mengkaji lah secara mendalam. Jangan hanya bergantung kepada data-data yang telah sedia ada seperti buku dan internet. Beliau juga mengongsikan sedikit pengalaman beliau menjadi guru dan saat permulaan beliau bekerja di Pusat Kesenian. Cikgu Azizul Shah menasihati kami semua bahawa jika kita sudah mula melakukan sesuatu hal atau pekerjaan, maka teruskan maju ke hadapan dan cuba sedaya upaya tanpa berlengah.


 
Akhir sekali, kami akhiri lawatan dengan bergambar ramai bersama Cikgu Azizul Shah Haji Azhari dan juga seorang tenaga pengajar senior, Haji Bakar Haji Jaludin. Pengalaman dan serba sedikit ilmu yang kami perolehi hasil daripada lawatan kami ke Pusat Kesenian dan Pertukangan Tangan amatlah kami hargai dan semoga segala ilmu yang kami perolehi akan bermanfaat buat kami semua pada masa akan datang.

 
Disediakan oleh: Muhammad Wail Wardi Haji Wasil (10B1116)
                          Muhammad Yazid Aji (10B8102)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.