I made this widget at MyFlashFetish.com.

Ahad, 8 April 2012

Laporan lawatan ke Pusat Kesenian dan Pertukangan Tangan





PENGENALAN
Pada 24hb Mac 2012, mahasiswa dan mahasiswi Universiti Brunei Darussalam yang mengambil kursus PB3403 - Industri Tradisi Brunei telah membuat lawatan ke Pusat Kesenian dan Pertukangan Tangan yang terletak di Kota Batu, Bandar Seri Begawan. Tujuan lawatan ini adalah untuk membenarkan para penuntut untuk mempelajari dengan lebih lanjut tentang bengkel-bengkel pertukangan tangan yang telah disediakan oleh pusat tersebut. Kedatangan kami di Pusat Kesenian dan Pertukangan Tangan disambut oleh salah seorang tenaga pengajar disana iaitu Awang Haji Bakar Haji Jaludin. Ketika lawatan ini, mahasiswa dan mahasiswi Universiti Brunei Darussalam diberi peluang untuk melawat 4 bengkel yang disediakan oleh pusat kesenian iaitu Bengkel Perak, Bengkel Tenunan, Bengkel Anyaman & Songkok dan juga Bengkel Tembaga.
Ketika lawatan tersebut, rombongan mahasiswa dan mahasiswi yang diiringi oleh Haji Bakar Haji Jaludin, salah seorang tenaga pengajar dalam bidang pertukangan perak. Beliau berumur 57 tahun dan bermula menjadi tenaga pengajar di pusat kesenian sejak tahun 1982.

 
PERAK
Bengkel pertama yang dilawat oleh rombongan mahasiswa dan mahasiswi adalah bengkel perak yang terletak di tingkat 5. Ketika lawatan ke bengkel ini, kami diberi sedikit taklimat oleh Awang Haji Bakar tentang proses-proses yang berhubung kait dengan pertukangan perak. Selain itu, Awang Hj Bakar juga menerangkan kepada kami tentang kursus – kursus yang berunsurkan pertukangan tradisi yang berada di pusat kesenian.

Kursus kesenian ini hanya akan mengambil masa selama tiga tahun sahaja dimana penuntut-penuntut akan mengambil masa selama dua tahun untuk belajar tentang bidang pertukangan mereka manakala bagi tahun ketiga mereka, mereka akan diberikan projek besar.


Ketika Awang Haji Bakar memberi taklimat tentang bengkel perak, kami diberitahu bahawa kesemua perak termasuk bahan-bahan serta alat-alat yang digunakan oleh petukang perak datangnya dari United Kingdom. Perak yang didatangkan khas ini pada mulanya berbentuk kepingan dimana ianya semua berukuran yang sama iaitu sepanjang 30 inci dan selebar 12 inci. Namun yang berbeza adalah ketebalan perak-perak tersebut.

Bagi penuntut-penuntut yang mengambil kursus bidang pertukangan perak, mereka akan diajarkan cara-cara membentuk perak dan seni mengukir corak-corak pada perak tersebut. Para petukang perak lazimnya menggunakan asas ukiran corak-corak yang sedia ada yang melambangkan identiti melayu Brunei, seperti corak bunga menjalar, bunga air muleh, karamunting, gigi yu, rawai-rawai, daun setampik, daun selambar dan lain-lain. Pada mulanya, kami telah difahamkan tentang alat-alat yang digunakan untuk bertukang perak. Alat yang awal sekali ditunjukkan oleh Awang Haji Bakar ketika taklimatnya adalah
kayu pengarungan. Kayu pengarungan ini diperbuat daripada kayu kulimpapa dan digunakan sebagai alas untuk membentuk perak. Kebanyakan proses-proses pertukangan perak ini dilakukan secara manual dengan menggunakan tangan, namun ada juga proses-proses yang menggunakan mesin iaitu proses menghaluskan dan mengilatkan.






Awang Haji Bakar juga memberitahu tentang alat-alat lain yang digunakan dalam bidang pertukangan perak ini, seperti landasan yang digunakan untuk membentuk perak, Landasan ini diperbuat daripada tembaga yang dijangkakan bernilai dalam lingkungan seribu ringgit. Ketika taklimat tersebut, kami juga dibawa oleh Awang Haji Bakar ke dalam sebuah bilik dimana proses-proses pembuatan perak yang melibatkan api dilakukan.

Proses-proses yang dilakukan di dalam bilik tersebut diantaranya adalah; mematri yakni 'wielding' dan melebur perak. Bilik itu juga digunakan untuk proses pandam dimana hasil ciptaan perak akan diukir mengikut kehendak petukang. Seterusnya, Awang Haji Bakar memberitahu kami tentang proses memutihkan perak dengan menggunakan air tawas dimana perak itu akan direndam selama 10 minit, lalu sisa-sisa hitam yang ada pada perak akibat proses melebur atau mematri akan tanggal dari perak tersebut.

Menuju ke penghujung taklimat tersebut, Awang Haji Bakar turut memberitahu kami tentang penuntut-penuntut lepasan yang mana mereka digalakkan untuk berusaha sendiri setelah selesai kursus dengan sediakan bantuan yang disediakan oleh kerajaan. Bantuan yang diberi kerajaan adalah dari segi menyediakan modal, tempat perusahaan dan pemasaran bagi penuntut-penuntut lepasan tersebut. Namun modal yang disediakan adalah tidak tetap bagi setiap individu.

Sebelum kami meneruskan lawatan ke bengkel seterusnya, kami berpeluang untuk memerhatikan sedikit proses yang berkaitan dengan pertukangan perak yang dipraktikkan oleh dua orang lepasan kursus di dalam bidang ini:

  •  Awang Mohamad bin Hj Jaludin, berumur 22 tahun. Beliau merupakan seorang penuntut lepasan kursus dan baru berkhidmat selama satu tahun. Ketika kami menjumpai nya, beliau sedang melakukan satu proses yang dipanggil menggiling iaitu satu proses dimana kepingan perak itu dinipiskan.


  •  
  • Dayangku Rohana Binti Pengiran Jafar, berumur 29 tahun. Beliau merupakan seorang penuntut lepasan kursus dan baru berkhidmat selama lima tahun. Ketika teklimat beliau sedang menghaluskan replika keris perak yang kecil.




 
TENUNAN
Setelah berkunjung ke bengkel perak, mahasiswa dan mahasiswi Universiti Brunei Darussalam yang diiringi oleh Haji Bakar Haji Jaludin dibawa ke bengkel seterusnya iaitu bengkel tenunan di tingkat 3. Bengkel tenunan merupakan tempat dimana penuntut-penuntut yang berminat akan dilatih cara-cara membuat tenunan menggunakan tangan dan alat-alat tradisional. Bidang tenunan bukanlah sesuatu yang mudah untuk diceburi kerana ianya melibatkan jutaan helai benang dan memerlukan kesabaran untuk mendapatkan hasil yang halus dan memuaskan. Bengkel tenunan tersebut pada masa ini mempunyai bilangan penuntut seramai 7 orang dan juga 7 orang pelatih.

 
Orang pertama yang kami jumpai adalah seorang tenaga pengajar di bengkel tenunan, Hajah Umi Kalthum Haji Omar yang pada masa itu sedang melakukan tugasnya menyediakan pakan menggunakan sebuah alat yang dipanggil cincir. Beliau sudahpun berkhidmat lama di Pusat Kesenian dan mempunyai pengalaman mengenai tenunan selama 30 tahun. Menurut Hajah Umi Kalthum, biasanya masa untuk menghasilkan kain tenunan sepenuhnya adalah sekurang-kurangnya 2 minggu, namun beliau juga menyatakan bahawa ianya mungkin memakan masa berlainan oleh sebab mereka harus melihat bagaimana keadaan corak kain tersebut dan bergantung kepada kepakaran seseorang itu. Corak yang paling susah hendak dilakukan menurut Hajah Umi Kalthum adalah corak yang dipanggil kain silubang bangsi dan liputan madu, yang mana kedua-dua kain ini boleh mencapai harga sehingga satu ribu lebih ringgit Brunei.



 
Mengenai pemasaran pula, kain tenunan sering ditempah untuk memenuhi permintaan orang ramai yang berhajat untuk menggunakan kain tenunan bagi majlis-majlis tertentu seperti sebagai hantaran pernikahan dan sebagai hadiah bagi ahli-ahli kerabat Diraja. Ramai juga penuntut-penuntut lepasan dari bengkel tenunan, Pusat Kesenian yang membuka perniagaan khidmat tenunan terutama sekali di Sumbangsih Mulia yang terletak di Kampong Beribi.

Tenaga-tenaga pengajar lain yang kami temui adalah:
  • Hajah Jaliha binti Haji Badang yang telah berkhidmat selama 15 tahun. Ketika ditemui, beliau sedang melakukan proses tenunan yang dinamakan menganim.


  • Sofinah binti Haji Wasli yang mula mengambil kursus di sana pada tahun 1985 dan mula bekerja pada 1994, dan pada ketika itu beliau sedang menenun di rumah tenunan.


 
ANYAMAN
Apabila selesai tinjauan kami ke bengkel tenunan, mahasiswa dan mahasiswi Univesiti Brunei Darussalam dibawa lagi oleh Haji Bakar Haji Jaludin ke bengkel seterusnya iaitu bengkel anyaman dan songkok. Tetapi kami sedikit berdukacita kerana tenaga pengajar bagi pembuatan songkok pada masa itu tiada, lalu kami tidak mendapat informasi mengenai bidang songkok. Jadi, kami hanya berjumpa dan berbual-bual dengan salah seorang tenaga pengajar bidang anyaman yang bernama Hajah Raya binti Haji Hujan yang telahpun berkhidmat di Pusat Kesenian sejak tahun 1992. Bengkel anyaman dan songkok mempunyai penuntut seramai 13 orang, dan mereka dilatih oleh 3 orang tenaga pengajar yang mana dua orang mengajar bahagian anyaman dan songkok hanya seorang.

 
 Menurut Hajah Raya, bahan-bahan yang biasa digunakan untuk anyaman adalah daun pandan yang biasanya boleh didapati di tepi pantai dan sungai. Daun-daun tersebut kemudian dipotong secara halus dan panjang mengikut kehendak sendiri, lalu setelah itu barulah ianya dianyam dengan menggunakan tangan. Hajah Raya menyatakan bahawa mereka akan menganyam seberapa besar terlebih dahulu, dan kemudian barulah dibentuk mengikut citarasa dan kehendak sendiri. Pada zaman dahulu, bentuk-bentuk yang lazimnya dibuat oleh tukang anyam adalah seperti takiding, alas meja dan juga lantai. Namun, pada zaman moden ini, produk-produk anyaman seperti takiding tidak lagi digunakan, lalu mereka yang pakar tentang anyaman juga mengubah cara pemikiran mereka dan menjadikan produk anyaman sesuatu yang selaras dengan zaman moden, seperti fail, beg syiling, beg tangan kecil, potret wajah dan bermacam-macam lagi.



 
    Produk-produk anyaman yang diperbuat daripada daun pandan menggunakan bahan pengawet sebagai warna dan ianya tidak boleh terkena air hujan kerana ditakuti akan luntur. Selain itu, anyaman juga kadang-kadang menggunakan bahan lain selain daun pandan iaitu buluh. Buluh tersebut dihiris sehingga halus, nipis dan lembut untuk dianyam. Menurut Hajah Raya, jika anyaman menggunakan buluh, ianya akan lebih tahan lama dan tidak akan menimbulkan masalah jika terkena hujan. Mengenai jangka masa pula, Hajah Raya menyatakan yang ianya bergantung kepada yang membuat anyaman tersebut. Orang-orang yang sudah mahir biasanya boleh siap dalam 1-2 hari sahaja, manakala mereka yang baru belajar akan mengambil masa sekurang-kurangnya 2 minggu. Setelah itu, hasil-hasil daripada anyaman dari bengkel tersebut jarang sekali dipasarkan kepada orang ramai. Ianya cuma dijual di Pusat Kesenian sendiri.

 

TEMBAGA
Selepas melawat ke bengkel anyaman dan songkok, mahasiswa dan mahasiswi Universiti Brunei Darussalam terus dibawa melawat ke bengkel seterusnya iaitu bengkel pertukangan tembaga. Disana, kami berjumpa dengan salah seorang tenaga pengajar bidang pertukangan tembaga iaitu Abdullah bin Hj Metussin. Beliau merupakan salah seorang tenaga pengajar yang paling awal dilantik untuk menjadi pengajar pada tahun 1975.
Ketika di bengkel tembaga, Awang Abdullah menerangkan tentang proses–proses yang terlibat apabila hendak mencipta sebuah alat tembaga, dan dia juga menyatakan bahawa proses–proses membuat tembaga mempunyai beberapa persamaan dengan proses–proses pertukangan perak seperti proses melebur logam.
Di dalam pembuatan tembaga, proses yang mula–mula dilakukan adalah dengan membentuk dan mengukir bentuk tembaga yang diingini dengan menggunakan tanah kuning atau tanah bukit. Kemudian, apabila tanah itu sudahpun berbentuk dan diukir, ia akan dikeringkan dan setelah dikeringkan replika tanah kering ini akan disimpan di dalam tanah liat yang mana tanah liat tersebut akan menyerap bentuk corak yang ada pada replika tanah kering itu. Secara umumnya tanah liat tersebut akan dijadikan sebagai acuan.




Setelah itu, tembaga yang dilebur akan diadun kedalam acuan tanah liat tersebut lalu akan mengikut bentuk yang diserap oleh tanah liat. Setelah itu, tembaga itu akan dibiarkan seberapa lama ia akan mengeras dan lazimnya akan terciptalah alat tembaga yang dihajatkan.

 
SESI SOAL JAWAB
Selepas selesai membuat lawatan ke bengkel-bengkel yang telah disebutkan, mahasiswa dan mahasiswi Universiti Brunei Darussalam diiringi sekali lagi oleh Haji Bakar untuk bertemu dengan penyelia pengajar di Pusat Kesenian, Azizul Shah Haji Azhari. Tugas beliau adalah untuk memastikan kesemua bahagian latihan di sana termasuk tenaga pengajar dan penuntut berjalan lancar dan sempurna. Beliau mula berkhidmat di Pusat Kesenian pada tahun 2005 dan sebelum itu, beliau pernah menjadi guru di salah sebuah sekolah rendah di Negara ini selama 7 tahun sejak 1997.




 
Tujuan cikgu Azizul Shah ingin bertemu dengan kami adalah hendak mengadakan sesi soal jawab bersama kami. Lalu, banyak soalan-soalan yang dikemukan terhadap beliau. Diantaranya ialah mengenai kelayakan untuk mengikuti kursus bengkel-bengkel yang terdapat di Pusat Kesenian. Kelayakan minima yang diperlukan hendaklah lulus menengah dua dan berumur di dalam lingkungan 17 hingga 28 tahun dan masih bujang. Bagi yang ingin mendaftar yang berumur 30 tahun ke atas adalah tidak dibenarkan sama sekali. Beliau menambah menyatakan bahawa produk-produk yang laris adalah kain tenunan yang paling banyak di beli oleh orang-orang awam, manakala perak bagi ahli-ahli kerabat Diraja. Cikgu Azizul Shah juga ada memberitahu kami yang besar kemungkinan Pusat Kesenian dan Pertukangan Tangan akan mengadakan bengkel batik pada masa akan datang.

 
Sebelum kami beredar dari situ, cikgu Azizul Shah memberi kami nasihat yang amat berguna yang mana beliau bercakap melalui pengalaman. Nasihat pertama beliau berkaitan dengan cara-cara mengumpul informasi dimana beliau menyarankan dan menegaskan betapa baiknya jika kita hendak mengkaji sesuatu itu, mengkaji lah secara mendalam. Jangan hanya bergantung kepada data-data yang telah sedia ada seperti buku dan internet. Beliau juga mengongsikan sedikit pengalaman beliau menjadi guru dan saat permulaan beliau bekerja di Pusat Kesenian. Cikgu Azizul Shah menasihati kami semua bahawa jika kita sudah mula melakukan sesuatu hal atau pekerjaan, maka teruskan maju ke hadapan dan cuba sedaya upaya tanpa berlengah.


 
Akhir sekali, kami akhiri lawatan dengan bergambar ramai bersama Cikgu Azizul Shah Haji Azhari dan juga seorang tenaga pengajar senior, Haji Bakar Haji Jaludin. Pengalaman dan serba sedikit ilmu yang kami perolehi hasil daripada lawatan kami ke Pusat Kesenian dan Pertukangan Tangan amatlah kami hargai dan semoga segala ilmu yang kami perolehi akan bermanfaat buat kami semua pada masa akan datang.

 
Disediakan oleh: Muhammad Wail Wardi Haji Wasil (10B1116)
                          Muhammad Yazid Aji (10B8102)

Jumaat, 30 Mac 2012

Lawatan Ke Pusat penemuan minyak dan gas Brunei Darussalam @ Oil and Gas Discovery Centre of Brunei Darussalam(OGDC)


Pengenalan:
Aktiviti lawatan mingguan bagi modul PB-3403 Industri Tradisi Brunei diteruskan lagi pada hari rabu (petang) 28 mac 2012 bersamaan 5 Jamadilawal 1433. Mahasiswa-mahasiswi meneruskan aktiviti lawatan wajib dan lawatan ini merupakan lawatan terakhir bagi semester 2 2011/2012. Semua pelajar-pelajar dalam modul ini (seramai 27 pelajar) yang diketuai oleh pengerusi modul PB-3403 Industri Tradisi Brunei iaitu Dyg Nurus'Saedah Haji Abu telah berpeluang membuat lawatan ke pusat penemuan minyak dan gas yang terletak di Seria, Kuala Belait. Tujuan lawatan ini adalah untuk mengetahui tentang sejarah, latar belakang, fungsi, peranan dan lain-lain lagi mengenai pusat penemuan minyak dan gas. 


Pusat Penemuan Minyak dan Gas Brunei Darussalam


 Pusat Penemuan Minyak dan gas telah dibuka secara rasminya pada 14 September 2002 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Tujuan utama penubuhan pusat penemuan minyak dan gas ini ialah untuk dijadikan pusat pendidikan yang banyak menumpukan ilmu pengetahuan tentang minyak dan gas Brunei dari awal sejarah penubuhannya hingga sekarang. Minyak dan gas merupakan sumber ekonomi utama Brunei sejak ianya dijumpai pada tahun 1920-an.


Di samping itu juga ia dapat memperkenalkan kepada masyarakat tentang minyak dan gas. Pusat penemuan minyak dan gas ini dengan kerjasama Minyak Shell dan petroleum Brunei juga mengambil peluang untuk meluaskan pengetahun mengenai sains, kejuruteraan dan teknologi kerana ketiga-tiga jurusan ini sangat berkait rapat dengan minyak dan gas Brunei. Ini adalah untuk mengalakkan lagi masyarakat Brunei untuk sama-sama mengetahui kepentingan sains dan teknologi dalam zaman globalisasi ini mahupun dalam kehidupan seharian.


Visi dan Misi Pusat Penemuan Minyak dan Gas
Visi pusat ini ialah sebagai pusat pendidikan untuk mempromosikan sains, teknologi dan inovasi. Manakala objektif pusat ini ialah seperti berikut:
• Menarik lebih ramai orang awam untuk mengetahui tentang industri minyak dan gas.
• Menunjukkan dan mempromosi tentang kepentingan sains dengan cara yang lebih menarik menyeronokkan.
• Mendedahkan secara realiti tentang penggunaan pelbagai peralatan sains dan teknologi serta model yang interaktif.
• Untuk menggalakkan prinsip pembangunan yang mampan.
• Menjadikan salah sebuah pusat pelancongan untuk sama-sama menyokong hasrat negara untuk menjana lebih banyak sumber ekonomi.
Pusat penemuan minyak dan gas ini dibukakan kepada orang ramai dari semua peringkat umur sama ada bagi pengujung tempatan mahupun luar negara kerana sememangnya penubuhan pusat ini adalah untuk memperkenalkan kepada pengunjung tentang dunia sains dan kejuruteraan dan juga dapat memperluaskan lagi pengetahuan meraka sambil melawat ke galeri-galeri yang disediakan yang meliputi pelbagai aspek tentang industri minyak dan gas di Brunei.
Pusat ini juga sering dijadikan sebagai pusat lawatan penting bagi sekolah-sekolah dan institusi pengajian kerana sebagai pendedahan awal dan dari pengalaman yang dilihat sendiri ini mampu menarik minat meraka dalam menceburi bidang sains dan teknologi terutama penuntut-penuntut sekolah rendah dan menengah. Di samping itu juga pusat ini ada mengadakan aktiviti dan demonstrasi sains, bengkel-bengkel untuk pelajar-pelajar serta kem motivasi dalam mengetahui dan mengongsikan penjelajahan dunia sains. Aktiviti-aktiviti sebegini sering diadakan untuk mencapai objektif utama penubuhan pusat ini. 


Tujuan Lawatan
Tujuan lawatan kami ke pusat penemuan minyak dan gas ini ialah untuk mengetahui lebih mendalam tentang penubuhan pusat ini. Manakala objektif lawatan ialah untuk mengetahui peranan, fungsi, serta maklumat-maklumat penting tentang kepentingan penubuhan pusat kerana seperti yang diketahu industri minyak dan gas merupakan sumber utama yang menjana ekonomi negara Brunei Darussalam yang sekaligus membangunkan kemajuan negara dengan lebih pesat lagi serta meningkatkan taraf kehidupan penduduknya. Melalui inudstri ini, ia dapat membantu membangunkan industri-industri lain untuk membanyakkan lagi sumber pendapatan negara selain bergantung kepada hasil minyak dan gas. Antara objektif lawatan ini ialah:

1. Mengenali latar belakang dan sejarah pusat ini
2. Mengetahui aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh pusat ini
3. Memberi pendedahan kepada pelajar tentang kepentingan sains dan teknologi serta kaitannya dengan industri Brunei
4.Ingin mengetahui fungsi dan peranan Pusat Penemuan Minyak dan Gas yang banyak menumpukkan kepada Industri Minyak dan Gas sebagai sumber utama ekonomi negara.
5.Melawat ke galeri-galeri yang mempamerkan ilmu-ilmu sains, kejuruteraan dan teknologi.

Taklimat Lawatan Bagi lawatan ini kami tidak diberikan taklimat khusus mengenai pusat ini di mana kami hanya dibawa melawat ke dewan pameran sahaja yang diiringi oleh Dayang Lina Nasyitah Binti Haji Abas dan juga Awang Wong Teck Wei @ Vance Wong dimana kedua-dua mereka merupakan wakil dari bahagian pendidikan dan pameran. Kami diberi peluang untuk melihat pameran yang penuh dengan informasi-informasi mengenai ilmu-ilmu sains seperti struktur bumi dan angkasa, jenis-jenis batu dan lain-lain lagi. Kemudian juga pameran itu memberikan maklumat mengenai sejarah industri minyak dan gas termasuk kronologi industi itu beserta penggunaan peralatan teknologi dan innovatif untuk mendapatkan sumber alam minyak dan gas itu. Kami juga telah dibantu oleh wakil dari bahagian pendidikan dan pameran dan juga ada sedikit penerangan akan teknologi sains yang terdapat di dalam dewan pameran tersebut.
 AwangWong Teck Wei @Vance
AwangWong Teck Wei @Vance


Semasa di Pusat Penemuan Minyak & Gas, mahasiswa-mahasisiwi tidak melepaskan peluang untuk melibatkan diri dalam berbagai aktiviti menarik yang terdapat di pusat tersebut dimana setiap permainan atau aktiviti itu dapat menarik perhatian dan menguji minda seperti illusi penglihatan, "Bed of Nails", "Electric Wave", "Tesla Coil", "playground for Mind", "Robotx" dan lain-lain.
Berikut adalah gambar-gambar para pelajar dalam mengikuti aktiviti/permainan:

 Penerangan Jurutera
 Bahagian Robotik 1
 Bahagian Robotik 2
Kejutan elektrik 1
 Kejutan elektrik 2
 Percubaan “electric wave” yang sememangnya mencabar kerana semua pelajar perempuan (dengan berpegang tangan) merasa ada kejutan eletrik
 Percubaan untuk menyambung gas
 Illusi penglihatan
 'Bed of nails'
'Tesla Coil'
 Percubaan “Tesla Coil” yang boleh menjana elektrik
 'Mind Puzzle




 Sesi lawatan ke galeri itu hanya mengambil masa lebih kurang 1 jam dan kemudiannya lawatan diakhiri dengan ucapan penghargaan dari salah seorang ahli jawatankuasa lawatan modul PB 3403 Industri Tradisi Brunei iaitu Dk Nor Afizah Pg Hj Ahmad dan seterusnya sesi penyerahan cenderamata sebagai penghargaan kepada wakil bahagian pendidikan dan pameran iaitu Dyg Lina Nasyitah Haji Abas pihak oleh Pengerusi modul tersebut iaitu Nurus'Saedah Haji Abu Bakar dan di akhiri dengan sesi bergambar ramai dihadapakan pintu utama Pusat penemuan minyak dan gas.

Penyampaian Cenderamata dari pengerusi

 
Sesi Bergambar ramai
 


Laporan disediakan oleh:
Saridah Binti Haji Budin (09b1339)
Norfadilah Binti Hamid (09b1511)

Isnin, 26 Mac 2012

Lawatan Ke BARC




Pada hari Rabu, 21 Mac 2012, rombongan seramai empat belas orang yang diketuai oleh timbalan pengerusi, Alwani@Ummu Kulthum Binti Miga,  , daripada Universiti Brunei Darussalam jurusan Industri Tradisi Brunei telah mengadakan lawatan ke Brunei Agriculture Research Centre (BARC) yang terletak di kampong Tanjung Bunut, Kilanas.




Rombongan lawatan telah tiba di BARC, Pusat Penyelidikan Pertanian Brunei, Kilanas pada pukul dua petang dan terus menuju ke bilik perkhidmatan unit Sains Tanah dan Nutrien tanaman, Bahagian Pembangunan Tanaman bagi mendengar taklimat. Rombongan pada petang tersebut telah diberikan taklimat oleh Doktor Thippeiwamy dan taklimat tersebut adalah tertumpu kepada jenis-jenis tanah, jenis-jenis baja dan juga nutrien tanaman.Terdapat pelbagai jenis tanah di Negara kita bagi bercucuk tanam sama ada bagi menanam padi, sayur-sayuran dan juga buah-buahan. 



 
 



Sebelum itu, pusat ini sebenarnya memainkan peranan dalam membantu pengusaha-pengusaha atau petani-petani kita untuk memulakan penanaman sayur-sayuar mereka atau buah-buahan mereka dan sebagainya melalui beberapa prosuder, iaitu, mereka terlebih dahulu akan turun ke lapangan ke tempat mana pengusaha itu ingin membuat penanaman. Kemudian, keadaan tanah akan di sukat dan kemudian barulah dapat diberitahu, jenis tanahnya, apa tanaman yang boleh subur atau tumbuh dan sebaliknya. 

MISI 2035
Demi menyahut cabaran dan hasrat wawasan negara 2035, Di dalam taklimat yang telah disampaikan, jika difokuskan kepada makanan asasi kita, iaitu beras, dikatakan sebanyak sembilan puluh tujuh peratus daripada beras yang terdapat di Negara kita telah diimpot daripada Negara Thailand. Ini menunjukkan bahawa pengeluaran beras di Negara kita amat tipis dan ini adalah berpunca daripada pelbagai faktor. Faktor tanah, air dan kawasan tanah lapang bagi penanaman padi telah menyebabkan Negara kita sukar untuk bersaing dengan Negara pengimpot. 

Oleh itu, penanaman padi Laila yang sedang giat diusahakan kini masih belum mencapai tahap pengeluaran yang baik. Untuk menjadi Negara yang ‘self-sufficient’ dengan pengeluaran bersanya sendiri amat sukar untuk direalisasikan. Kita memerlukan sistem irrigasi yang baik kerana padi memerlukan air yang banyak serta dalam untuk meningkatkan penghasilan. Sebenarnya, padi Laila ini adalah padi yang ditanam di Negara Filipina yang telah berkembang agak lama dan kerana padi ini dikatakan bagus maka ianya dibawa, hanya baru-baru ini, ke Negara kita untuk ditanam.

Di dalam taklimat pada petang itu, dikatakan bahawa penanaman sayur dan buah-buahan di Negara kita tidak begitu banyak. Unit Sains tanah dan nutrien sering mengadakan kajian mengenai kawasan bagi penanaman, jenis tanah yang terdapat dikawasan tersebut dan jenis saiz tanah sama ada ianya baik untuk penanaman padi, buah-buahan atau pun sayur-sayuran. Terdapat pengusaha buah-buahan tempatan yang dipantau oleh unit kemajuan Pertanian Luar Bandar bagi kawasan tanah dan juga baja bagi penanaman buah-buahan tersebut. Pertanian tidaklah mudah seperti yang disangka kerana terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan kelambatannya. Peralatan, saiz tanah, jenis tanah, nutrien dan baja adalah di antara faktor yang menyebabkan kelambatan penanaman tersebut dan unit Sains tanah dan nutrien bertanggungjawab untuk mengawal nutrien dan baja yang digunakan oleh para petani.

Unit Sains dan nutrien juga mengadakan lawatan untuk melihat sama ada jenis tanah bagi penanaman tersebut adalah paya atau bukit dan mereka membuat laporan serta mengambil contoh-contoh jenis tanah dikawasan tersebut untuk dikaji di dalam makmal sebelum penanaman dimulakan. Baja-baja yang terdapat di Negara kita diimpot daripada Negara luar dan unit ini juga bertanggungjawab bagi memeriksa kualiti baja yang didatangkan sebelum dijual. Selain itu, unit ini memberikan program latihan kepada para petani bagi percubaan penanaman mereka. Pertanian juga menghadapi masalah suhu dan cuaca dan Negara kita tidak seperti Negara luar yang mempunyai musim-musim yang tertentu. 

TUJUAN
Tujuan bagi kajian yang dilakukan oleh pengkaji, khasnya bagi unit ini adalah bagi melihat sejauhmana perkembangan penanama dan nutrien serta baja yang digunakan di dalam tanaman. Terdapat tiga jenis tanah iaitu tanah liat, tanah kuning dan tanah gambut. Tanah liat adalah sesuai untuk penanaman padi atau sayur buah kerana air boleh bertahan lama di dalam tanah tersebut. Tanah kuning hanya sesuai bagi penanaman buah sahaja dan tanah gambut yang terdapat dikawasan tanah paya, tidak boleh dijadikan tempat penanaman kerana ianya terlalu mahal atau kaya dengan ‘ecosystem’nya dan untuk kenderaan berat seperti jentra kemudahan untuk penanaman tidak boleh berada dikawasan tersebut kerana keadaan tanahnya yang tidak dapat menampung berat sebegitu rupa. Disebabkan inilah, kawasan penanaman padi di kawasan paya di daerah Tutong dan Temburong hanya dilakukan oleh petani secara manual tanpa menggunakan sebarang jentera atau mesin-mesin ini. 

PERMASALAHAN
Terdapat beberapa masalah lagi di dalam penanaman di antaranya ialah hujan dan banjir yang menyebabkan nutrien hilang, tanah bukit terhakis dan tanah masam. Akan tetapi, tanah masam dapat di ‘neutralise’ dan dapat dikawal dengan menggunakan kapur yang ditabur secara manual dua minggu sebelum penanaman dimulakan. Jumlah asid pada tanah akan dipantau oleh pengkaji dan ia di sukat dengan mesin khas untuk mengkaji pH tanah. Oleh itu, aktiviti penanaman ini bukannya  mudah kerana ia memerlukan pemerhatian yang begitu teliti.


Isi taklimat terakhir adalah mengenai nutrien bagi penanaman. Unit ini telah mengsyorkan sebanyak enam belas nutrien . Menurut Doktor , baja organik daripada najis ayam yang terdapat di Negara kita adalah baja yang selalu sahaja digunakan di dalam penanaman dan baja kimia adalah baja yang diimpot dari Negara luar. Terdapat pelbagai baja bagi daun, akar, buah dan sebagainya. Kajian dan pantauan sering dilakukan bagi mengawal baja-baja yang digunakan oleh petani terhadap tanaman mereka.



Pada pukul tiga setengah petang, sebelum lawatan diakhiri dengan ucapan penghargaan daripada bahagian ahli jawatankuasa lawatan dan pemberian cenderahati oleh timbalan pengerusi, kami terlebih dahulu dibawa melihat mesin-mesin teknologi yang digunakan oleh pengkaji-pengkji. Diakhir lawatan juga rombongan telah dijemput bagi minum petang oleh pegawai BARC.    


GAMBAR DARI AKTIVITI  LAWATAN 

 Antara mesin khas yang digunakan dalam kajian pengkaji
 
 Data dikumpul dalam Komputer
 
Teknologi yang digunakan
contoh gambar jenis-jenis tanah
 
Teknologi yang digunakan
Teknologi yang digunakan
 
Teknologi bagi melihat air itu berkualiti
Teknologi yang diguynakan
 Barang yang digunakan
Gambar10 Doktor memberi taklimat
Penolong Pengerusi memberi cenderamata
 Mahasiswa/i menikmati jamuan

Mahasiswi enak menjamu selera

 Sesi bergambar ramai



Laporan disediakan oleh:

Nurul Hafizah Bte Mohd.Othman 10B1177
Nur Aqilah Bte Maidin 10B1153